FAQ

Frequently Asked Questions
Apakah itu Sistem i-Mesra?

Sistem i-Mesra merupakan aplikasi inventori yang memastikan rekod penggunaan bahan mentah oleh sesebuah premis makanan adalah daripada sumber-sumber halal dan patuh syariah. Sistem i-Mesra ini juga dapat digunakan sebagai kemudahan rujukan oleh orang ramai (pengguna) dengan cara mengimbas kod QR.

Siapakah yang layak memohon Sistem i-Mesra?

Permohonan bagi Sistem i-Mesra adalah terbuka kepada premis makanan berstatus tetap yang ingin memberi rujukan kepada pengguna bahawa semua bahan mentah yang digunakan dalam penyediaan makanan mereka telah dipersijilkan halal atau daripada sumber tidak mengandungi sebarang najis.

Premis makanan yang menggunakan istilah-istilah tertentu seperti “No Pork, No Lard”, “No Alcohol”, “Muslim Friendly” dan sebagainya adalah digalakkan untuk memohon Sistem i-Mesra  untuk perniagaan mereka.

Apakah kategori premis makanan yang boleh mendaftar dengan Sistem i-Mesra?

Kategori premis makanan yang berstatus tetap boleh mendaftar dengan Sistem i-Mesra adalah seperti berikut:

  • Restoran / Kedai makanan
  • Kafe
  • Kantin
  • Kiosk
  • Gerai makanan
  • Premis makanan seumpama yang menyediakan makanan untuk dijual atau disajikan kepada orang ramai.
Bolehkah kategori premis yang berstatus tidak tetap mendaftar dengan Sistem i-Mesra?

Boleh, tetapi penggunaan Sistem i-Mesra haruslah digunakan mengikut syarat syarat yang telah ditetapkan.

 
Apakah faedah Sistem i-Mesra kepada premis makanan?

Faedah-faedah Sistem i-Mesra kepada premis makanan adalah seperti berikut:

  • Sistem ini meningkatkan keyakinan orang ramai (pengguna) bahawa pemilik premis makanan yang berdaftar dengan Sistem i-Mesra menggunakan bahan-bahan yang telah dipersijilkan halal atau tidak mengandungi sebarang najis.
  • Sistem ini menunjukkan komitmen pemilik premis tersebut dalam hal-hal berkaitan penyediaan makanan yang bersumberkan bahan-bahan yang telah dipersijilkan halal atau tidak mengandungi sebarang najis.
 
Apakah perbezaan antara Sistem i-Mesra dan Sijil Pengesahan Halal Malaysia?

Perbezaan di antara Sistem i-Mesra dan Sijil Pengesahan Halal Malaysia adalah Sistem i-Mesra yang memfokuskan kepada penggunaan aplikasi inventori yang memastikan rekod penggunaan bahan-bahan oleh sesebuah premis makanan adalah daripada sumber-sumber yang telah dipersijilkan halal atau tidak mengandungi sebarang najis dalam penyediaan makanan mereka. Sistem i-Mesra juga merupakan salah satu langkah persediaan bagi menggalakkan premis makanan memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Manakala, Sijil Pengesahan Halal Malaysia merupakan sijil yang dilulus dan diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan tertakluk pada manual dan standard yang berkaitan seperti Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020, MHMS, MS1500 dan lain-lain. Ia meliputi penilaian menyeluruh termasuk struktur bangunan, dokumentasi, kebersihan, bahan ramuan dan proses penyediaan makanan.

 
Adakah Sistem i-Mesra ini diwajibkan kepada semua premis makanan?

Perbezaan di antara Sistem i-Mesra dan Sijil Pengesahan Halal Malaysia adalah Sistem i-Mesra yang memfokuskan kepada penggunaan aplikasi

Penggunaan Sistem i-Mesra adalah secara sukarela kepada premis makanan yang menggunakan bahan-bahan daripada sumber-sumber yang telah dipersijilkan halal atau tidak mengandungi sebarang najis.
 
Apakah syarat-syarat kelayakan dan dokumen yang diperlukan untuk permohonan Sistem i-Mesra?

Untuk menggunakan Sistem i-Mesra, premis makanan perlu memenuhi syarat-syarat kelayakan dan menghasilkan dokumen-dokumen seperti berikut.

Syarat-syarat kelayakan:

  • Premis makanan berstatus tetap dan tidak tetap;
  • Beroperasi minimum selama satu (1) bulan; dan
  • Penggunaan bahan-bahan daripada daripada sumber-sumber halal dan/atau tidak mengandungi sebarang najis.

Dokumen-dokumen yang diperlukan:

  • Rekod Pembelian Bahan-bahan;
  • *Sijil Pendaftaran Syarikat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM);
  • *Lesen Perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
  • *Salinan Kad Pengenalan dan satu (1) Surat Lantikan seorang pekerja beragama Islam; dan
  • *Sijil Suntikan Tifoid.

*Dokumen-dokumen yang digalakkan.

 
Bagaimanakah pelanggan dapat merujuk kod QR i-Mesra?

Premis makanan boleh memaparkan kod QR sistem i-Mesra ini di bahagian hadapan premis masing-masing. Pelanggan boleh mengimbas kod QR Sistem i-Mesra menggunakan telefon bimbit. Melalui kod QR ini, pelanggan mendapat pengesahan (validation) berkenaan penyertaan premis tersebut di dalam sistem i-Mesra.

 
Apakah maklumat yang akan dipaparkan kepada orang ramai sekiranya mereka mengimbas
kod QR Sistem i-Mesra?

Dengan mengimbas Kod QR, dokumen-dokumen di bawah akan dipaparkan untuk kegunaan rujukan pengguna:

  1. Surat Aku Janji;
  2. Surat Pengesahan Bahan Mentah; dan
  3. Sijil Latihan i-Mesra.
 
Berapa lamakah tempoh sah laku Sistem i-Mesra selepas kod QR dijana?
Tempoh sah laku untuk setiap kod QR adalah selama satu (1) tahun sahaja bagi premis makanan. Jika tempoh sah laku telah tamat, permohonan pembaharuan Sistem i-Mesra akan melalui proses yang sama seperti sebelumnya.
Sekiranya terdapat perubahan atau penambahan bahan-bahan perlukah pemilik premis makanan memaklum
dan mengemaskini maklumat tersebut di dalam Sistem i-Mesra? Jika ya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pemilik premis makanan untuk memastikan pematuhan secara berterusan oleh mereka?

Jika terdapat sebarang perubahan atau penambahan bahan mentah yang digunakan, pemilik premis makanan perlulah memaklumkan dan mengemaskini maklumat tersebut di dalam Sistem i-Mesra.

Hal ini adalah penting bagi memastikan sumber bahan-bahan yang digunakan terus mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam garis panduan Sistem i-Mesra.

Adakah penggunaan bahan-bahan yang mempunyai logo halal selain daripada Logo Halal Malaysia
dibenarkan dalam penyediaan makanan di premis makanan yang menggunakan Sistem i-Mesra?

Ya. Hanya penggunaan bahan mentah yang telah dipersijilkan halal oleh Badan Persijilan Halal yang diiktiraf JAKIM dibenarkan untuk penyediaan makanan di premis makanan yang menggunakan Sistem i-Mesra.

Bolehkah juru penilai menjalankan penilaian di luar waktu operasi perniagaan premis makanan? 

Penilaian boleh dilakukan pada bila-bila masa, tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak, iaitu juru penilai dan pemilik premis makanan. 

Berapakah tempoh masa yang akan diambil oleh juru penilai luaran untuk melakukan penilaian fizikal premis makanan? 

Tempoh masa yang akan diambil oleh juru penilai luaran untuk melaksanakan penilaian fizikal di premis makanan adalah sekurang-kurangnya 14 hari waktu bekerja.

Bagaimana untuk mengenal pasti juru penilai yang sah?

Pemilik premis makanan boleh menyemak juru penilai yang sah melalui aplikasi Sistem i-Mesra. 

Bagaimanakah cara untuk menyertai Sistem i-Mesra?

Pemilik premis makanan yang berminat untuk menyertai sistem i-Mesra, boleh mengisi maklumat di dalam sistem i-Mesra. Pemilik premis makanan akan dihubungi oleh ejen i-Mesra untuk proses seterusnya. 

Adakah maklumat bahan mentah akan dikongsikan kepada pengguna?

Tidak. Sebarang maklumat bahan mentah tidak akan dikongsikan kepada pengguna secara langsung. Ini bertujuan untuk melindungi maklumat sensitif berkenaan premis tersebut. 

Adakah Sistem i-Mesra ini menepati standard piawaian keselamatan data yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan?

i-Mesra mematuhi standard piawaian keselamatan data yang ditetapkan oleh pihak kerajaan, termasuk pematuhan kepada undang-undang seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA). Sistem ini juga menggunakan protokol keselamatan terkini, mempunyai prosedur pengurusan risiko yang mantap, dan menyediakan latihan keselamatan data kepada pengguna serta kakitangan.

Adakah Sistem i-Mesra bercanggah dengan bidang kuasa JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN),
Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)? 

Tidak. Sistem i-Mesra merupakan aplikasi inventori yang dapat digunakan untuk merekod penggunaan sumber bahan mentah di dalam sesebuah premis makanan. Sumber bahan mentah tersebut haruslah daripada sumber halal atau tidak mengandungi sebarang najis. Ia merupakan satu inisiatif untuk menggalakkan lagi premis makanan untuk memulakan persediaan untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Adakah Sistem i-Mesra boleh mencadangkan bekalan bahan-bahan halal alternatif jika terdapat permintaan daripada pemilik premis makanan?

Ya, Sistem i-Mesra boleh mencadangkan bekalan bahan-bahan halal alternatif jika terdapat permintaan daripada pemilik premis makanan melalui platform digital yang dikenali sebagai Halal Integrated Platform (HIP).

HIP adalah sebuah rangkaian digital pasaran Halal dibangunkan oleh HDC yang boleh memberi akses kepada pengguna Sistem i-Mesra kepada pembekal-pembekal yang mematuhi piawaian halal ditetapkan.

Bagaimanakah cara untuk menghubungi pihak Sistem i-Mesra bagi sebarang pertanyaan, keterangan
dan/atau maklumat lanjut?

Jika terdapat sebarang pertanyaan, keterangan dan/atau maklumat lanjut, sila e-mel kepada info@i-mesra.com.